Thursday, February 11, 2010

SEJARAH SK SRI MAULANA


Sekolah Kebangsaan Sri Maulana merupakan antara sekolah tertua di Pekan. Sekolah ini terletak dalam lingkungan 3 buah kampung tradisional iaitu Kg Pulau Jawa, Kg Pulau Tambun dan Kampung Kelat Rendang. Sepanjang pembukaan, sekolah ini telah bertukar nama sebanyak 3 kali.

Pada tahun 1908 dengan arahan pemerintah Inggeris ketika itu Tuan Maxwell (Pegawai Daerah Pekan) serta dibantu oleh Tuan Kecik @ Syed Chik bin Syed Omar al-habsi Penghulu Pekan dan Encik Kenit (Ketua Kampung) telah berusaha untuk mencari tapak bagi mendirikan sebuah sekolah. Maka pada tahun itu juga wujudnya sebuah sekolah dikampung Pulau Jawa disuatu kawasan tepi Sungai Pahang di Kampung Maulana (kawasan istana Bendahara Seri Wak Raja Tun Ali) yang dulu dikenali sebagai tiang bendera atau kota lama.

Tapak sekolah itu didirikan diatas tanah kepunyaan atau milik Tuan Haji Ali bin Arshad (anak Che Gaduh). Sekolah itu diberi nama Sekolah Pekan Seberang dengan menampung 30 orang murid laki-laki dan 2 orang guru. Tuan Haji Ali bin Arshad merupakan guru besar yang pertama disekolah tersebut. Manakala mata pelajaran yang diajar mengikut konsep 3M, Membaca, Menulis dan Mengira.

Dalam tahun 1918 Kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan baru (kali ke-2) dengan dua buah rumah guru di suatu tempat bernama Permatang Chicar (Tempat bangunan yang ada sekarang). Sekolah ini diberi nama Sekolah Melayu Pekan Seberang. Selepas bangunan pertama ditutup, murid-murid dan guru-guru telah dipindahkan ke bangunan ini. Tapi malangnya bangunan yang ke-2 ini juga telah runtuh dan musnah sama sekali ditiup angin kencang sebanyak dua kali pada akhir tahun 1944. Sepanjang tahun 1944 hingga 1947 murid-murid telah terpaksa belajar di bangunan sementara di rumah guru-guru atau di bawah naungan pokok-pokok disitu.

Bangunan baru yang ke-3 telah dibina pada tahun 1948 bagi mengganti bangunan sekolah yang telah runtuh. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Kebawah DYMM Sultan Pahang (Almarhum Sultan Abu Bakar) dan akhirnya pada tahun 1950 Sekolah Melayu Pekan Seberang telah diubah nama kepada Sekolah Melayu Pulau Jawa, Pekan.

Pada tahun 1955 sebuah bangunan baru yang ke-4 telah didirikan bagi menampung kekurangan bilik-bilik darjah, tetapi dalam tahun 1975 sebahagian dari bangunan yang ke-4 ini telah diruntuhkan kerana tapaknya hendak didirikan bangunan yang ke-5 bangunan baru dua tingkat binaan batu. Bangunan baru ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Seri Maulana sebagai mengambil sempena nama tapak bangunan yang pertama kali didirikan di Kampung Maulana pada 10.6.1973. Akhirnya pada tahun 1980 sebuah bangunan jenis yang sama telah juga didirikan dan kedua-dua bangunan ini telah digunakan dengan sepenuhnya untuk bilik-bilik darjah dan lain-lain. Seterusnya beberapa bangunan tambahan telah didirikan sepertimana yang terdapat sekarang. Berikut adalah nama guru-guru besar yang mengajar di SK Sri Maulana:-1. Hj Ali b Arshad (1908-1922) 2. Abu Bakar b Mat (1922-1928) 3. Khalid b Abu Bakar (1928-1930) 4. Awang Ismail b Abdullah (1930-1935) 5. Mohamed b Man (1935-1938) 6. Mohamed b Said (1938-1939) 7. Daud b Md Terang (1940-1945) 8. Hj. Ahmad b Othman (1945-1949) 9. Zaiuddin b Hj. Jamal (1950-1958) 10. Ab Wahab b Salahudin (1958-1964) 11. Md Yusof b Dahalan (1965-1968). 12. Abd Aziz b Ismail (1969-1970) 13. Hj. Idrus b Md Da (1971-1973) 14. Musa b Mohd Saman (1974-1980). 15. Mokhtar b Chik (1981 - 1982) 16. Syed Ab Rahman b Syed Abdullah (1982-1984) 17. Ab Rahman b Kemat (1984- ) (Nota : rekod sehingga 1984)Pada 9.11.1985 bersamaan 26 Safar, 1406M hari Sabtu jam 2.30 petang Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah b Haji Ahmad Badawi, ketika itu Menteri Pelajaran Malaysia telah merasmikan Bangunan Dan Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Sri Maulana Pekan dan YAB. Dato' Sri Mohd Najib b Tun Hj Abd Razak, Menteri Besar Pahang sebagai Penaungnya.

Bermula November 2007, sekolah ini diterajui oleh Encik Basri Bin Mohd Zahiri sehingga sekarang. Diharapkan sekolah ini akan terus cemerlang dalam pelbagai bidang.

Followers

About Me

My photo
Sekolah Kebangsaan Sri Maulana merupakan antara sekolah tertua di Pekan. Sekolah ini terletak dalam lingkungan 3 buah kampung tradisional iaitu Kg Pulau Jawa, Kg Pulau Tambun dan Kampung Kelat Rendang. Sepanjang pembukaan, sekolah ini telah bertukar nama sebanyak 3 kali. 1908 : Sekolah Pekan Seberang 1950 : Sekolah Melayu Pulau Jawa 1975 : Sekolah Kebangsaan Sri Maulana